Friday, February 17, 2012

Pendapat: Bersikap Terbuka Perkahwinan Antarabangsa


SIKAP gemar membangkit isu berkaitan dengan soal peribadi merupakan lumrah hidup bagi masyarakat Malaysia yang kurang terdedah kepada dunia luar.

Pemikiran dan cara mereka menganalisis sesuatu perkara berkaitan dengan isu personal lebih mirip kepada pemikiran yang sempit dan kurang matang mengenai perubahan dunia yang dikenali sebagai proses globalisasi.

Jika seratus tahun dahulu negara Barat dihuni oleh penduduk beragama Kristian tetapi hari ini coraknya berubah di mana berjuta umat Islam menjadi warganegaranya.

Apabila berlaku penghijrahan maka masyarakat pelbagai bangsa mengenali antara satu sama lain. Dalam pergaulan seharian, perasaan perbezaan bangsa dan identiti terhapus. Oleh itu berlaku perkahwinan berlainan bangsa dan negara. Perkara begini bukan satu perkara serius yang boleh menggoncang kedudukan negara.

Di Barat, ramai umat Islam dari negara-negara Islam berkahwin dengan penduduk tempatan. Perkahwinan di antara masyarakat Islam dengan orang Barat amat baik dalam perkembangan dakwah Islam kerana setiap individu yang ingin berkahwin dengan umat Islam wajib memeluk agama Islam.

Persoalan, kenapa lelaki Melayu berkahwin dengan wanita warga Indonesia bukan satu isu yang boleh menggoncang kedudukan wanita Melayu dan negara. Wanita Indonesia ialah saudara sesama bangsa dan agama. Wanita Indonesia adalah wanita Melayu serumpun. Apabila lelaki Malaysia melihat wanita Indonesia, mereka tidak merasai wanita tersebut orang luar.

Sejarah menunjukkan bahawa perkahwinan di antara orang Melayu Indonesia dan Tanah Melayu sudah berlaku berkurun lamanya. Oleh itu bangsa Melayu di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Jawa, Bugis, Minang dan sebagainya.

Masyarakat Melayu pada masa lampau mempunyai sifat universal atau terbuka dalam hal ehwal pemilihan jodoh dan perkahwinan. Budi pekerti dan persamaan agama menjadi pilihan utama, bukan asal usul individu tersebut.

Semangat Islam yang kental dan sikap kasih sayang sesama umat Islam yang mendalam menyebabkan orang Melayu di negara ini tidak merasai bahawa wanita dan lelaki Indonesia yang jatuh cinta pada anak mereka sebagai satu perkara yang pelik dan perlu dijadikan bahan kajian.

Perkahwinan campur antara orang Melayu dengan pelbagai bangsa yang mempunyai perbezaan budaya dan wajah di Malaysia merupakan satu lumrah kehidupan masyarakat di negara ini.

Corak perkahwinan ini telah menghasilkan masyarakat Malaysia yang universal dan terbuka. Ini satu keistimewaan rakyat Malaysia yang mempunyai raut wajah yang unik dan gaya hidup bergaya hasil perkahwinan campur yang diamalkan oleh masyarakat di negara ini.

Jika lelaki Melayu berkahwin dengan wanita Indonesia yang cantik dan menarik, ia bukan bererti wanita Malaysia tidak menarik. Ini adalah hasil daripada pergaulan seharian antara wanita Indonesia dan lelaki Malaysia.

Wanita Malaysia yang sering bergaul dengan lelaki warga asing juga terpikat dengan lelaki tersebut. Perasaan jatuh cinta wujud apabila lelaki dan wanita memahami antara satu sama lain secara mendalam.

Perasaan cinta terhadap seseorang tidak membatasi sempadan geografi. Ini adalah lumrah kehidupan manusia di dunia. Ia bukan merupakan satu isu baru yang perlu dijadikan bahan kajian. Latar belakang dan cara seseorang individu itu dibesarkan memainkan peranan penting dalam pembentukan corak pemikiran masyarakat.

Jika individu dibesarkan dalam keluarga yang terlalu fanatik terhadap bangsa dan keangkuhan keturunan, maka perkahwinan anak mereka dengan orang bukan warga Malaysia mungkin dianggap sebagai perkara aib dan menakutkan.

Bagi individu yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai corak pemikiran yang universal dan terbuka, perkahwinan anak mereka dengan warga asing mungkin dianggap sebagai satu berita baik dan menyeronokkan. Perkahwinan begini merupakan satu lumrah hidup umat Islam yang bertamadun.

Pemikiran yang sering terikat dengan keegoan bangsa dan keturunan tidak mampu untuk melihat sesuatu yang indah yang dimiliki oleh bangsa lain. Allah menyeru manusia supaya menjelajah dunia melihat kebaikan orang lain.

Oleh itu jika lelaki Melayu berkahwin dengan wanita Indonesia perlu dilihat dalam perspektif yang positif dan bukan satu yang pelik dan perlu dihindari.

– DR. Saodah Abd. Rahman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
(Utusan Malaysia, 10 Januari 2008)

No comments: