Thursday, February 16, 2012

Menjadikan Dunia Lebih Sempurna


Perubahan amalan pemakanan, gaya hidup corak masa depan 

KEDATANGAN Tahun Baru 2012 sentiasa dinanti-nantikan dengan penuh keriangan dan harapan tinggi agar kehidupan bertambah baik. Pelbagai cabaran dan kemungkinan menarik sedang menunggu sambil kita bayangkan kejayaan dan kecemerlangan yang bakal dicapai pada tahun mendatang.

Berbekalkan semangat optimis ini, ayuh kita cuba teroka idea yang sering dianggap idealistik – menjadikan dunia lebih sempurna kerana ‘apalah manusia, jika tidak menjadikan dunia ini lebih sempurna?’, memetik kata-kata Balian, Baron Ibelin pada abad ke-12.

Ramai intelek dan ahli fikir dunia melahirkan beberapa idea berani berhubung persoalan berkenaan untuk menyelesaikan pelbagai masalah seperti kemiskinan, pencemaran, penyakit, masalah kebuluran dan diskriminasi.

Idea dilihat secara meluas, mencakupi pelaburan jangka panjang yang diperlukan dan kesan tindakan yang diambil. Sebilangan pihak mungkin menganggap idea berani itu melangkaui kemampuan kita, tetapi sudah tiba masanya kita membuang pandangan negatif itu dan memberanikan diri untuk berfikir secara meluas.

Lagipun, kita mempunyai kemampuan lebih baik – dari segi maklumat, sumber, kaedah dan teknologi yang belum pernah dimiliki generasi lalu, yang boleh kita manfaatkan untuk membuahkan idea bijak.

Saya ingin berkongsi dengan pembaca budiman mengenai beberapa penyelesaian berani yang dicadangkan untuk masalah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk dunia. Sebahagian masalah ini adalah cabaran turun-temurun yang kita cuba selesaikan, manakala yang lain adalah isu moden yang timbul akibat tindak-tanduk manusia. 

Penyakit adalah masalah yang menghantui kita sejak sekian lama walaupun ada banyak ubat-ubatan dan kepakaran hari ini untuk mencegah atau merawat penyakit. Bagaimanapun, masih wujud beberapa penyakit yang tidak dapat dikawal, seperti denggi dan malaria, yang mungkin memerlukan pendekatan di luar kotak atau dilihat melalui pelbagai lensa dan perspektif untuk mengilhamkan cara lebih baik bagi menangani penyakit ini.

Sejak kebelakangan ini, pencemaran alam sekitar mendapat perhatian semua pihak. Penyelidik dan saintis di seluruh dunia berusaha bertungkus-lumus mencari sumber tenaga yang selamat, bersih dan mampu milik supaya kita tidak lagi bergantung kepada bahan bakar fosil – bukan saja kerana bahan bakar ini akan pupus, malah kerana kemusnahan dihasilkannya dari segi kepanasan global.

Mereka mengkaji pelbagai sumber tenaga, sama ada suria dan angin hinggalah kepada bakteria dan alga. Sungguhpun kita sedia maklum bahawa tenaga suria dan angin boleh membekalkan tenaga ke rumah dan pejabat kita, bakteria dan alga agak berbeza, ia menghasilkan kompaun yang membekalkan tenaga.

Sebenarnya tidak semua bakteria memudaratkan, banyak yang lain boleh dimanfaatkan dalam kesihatan dan sistem eko. Antaranya ialah Nitrosomonas europaea, sejenis bakteria yang memakan amonia dan karbon dioksida.

Di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, bakteria ini dibiak secara genetik untuk menukarkan karbon dioksida kepada biofuel yang dikenali sebagai isobutanol, sejenis alkohol yang membakar seperti minyak tanah. (http://arpa-e.energy.gov/ProgramsProjects/Electrofuels/BiofuelsfromCO2UsingAmmoniaOxidizingBacteria.aspx)

Bayangkan mengisi minyak kereta dengan bahan kompaun bakteria. Manfaat yang boleh didapati daripada alga lebih hebat lagi. Beberapa spesies alga mengandungi sehingga 60 peratus minyak, menjadikan sumber bio-fuel yang lebih berkesan berbanding jagung atau tebu. Alga boleh dibiak pada tanah terbiar, malah dalam air buangan pertanian dan manusia.

Ada banyak lagi idea besar untuk menangani masalah yang sering dihadapi seperti akses kepada pendidikan dan kemiskinan tetapi semuanya pasti mempunyai satu kaedah sama untuk menyelesaikannya.

Justeru, kita tidak harus berputus asa apabila sesuatu dasar atau program nampaknya tidak berkesan. Sebaliknya, kita hendaklah berani mencuba sesuatu yang baru dengan melihat masalah itu dari sudut lain bagi mencari penyelesaian baru.

Saya juga memikirkan beberapa perubahan yang boleh kita lakukan dalam kehidupan seharian untuk menjadikan dunia ini lebih sempurna. Benar kata pepatah, ‘Perkara kecil yang menjadikannya penting’, malah ia amat sesuai apabila kita cuba menyelamatkan alam sekitar, menghapuskan penyakit atau mencegah peperangan.

Saya yakin sepenuhnya bahawa antara perkara penting yang boleh kita lakukan ialah dengan mengamalkan pemakanan sihat dan makan lebih banyak makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Perubahan amalan pemakanan ini boleh mengelakkan beberapa penyakit, di samping menyelamatkan planet.

Pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan makan daging, iaitu satu daripada sumber lemak yang memudaratkan kesihatan dan menjadi punca penyakit jantung dan strok.

Pada masa sama, jika semakin ramai penduduk dunia kurang makan daging, kita dapat mengurangkan pengeluaran binatang ternakan, yang menjadi satu daripada punca utama pencemaran alam.

Seperkara lagi yang boleh kita lakukan untuk menjadikan dunia lebih sempurna: berbaik-baik sesama manusia. Jika kita baik hati, prihatin dan saling menyayangi, kita dapat mengurangkan pertelingkahan atau peperangan, diskriminasi dan penganiayaan.

Saya berharap anda yakin idea besar ini dapat mengubah dunia. Ada kalanya kita hanya memerlukan sedikit imaginasi, keyakinan dan azam bahawa anda juga akan sama-sama berusaha menjadikan dunia ini lebih sempurna. 

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my
2012/01/04
 

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia
 www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai) 

No comments: