PELBAGAI
langkah telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk membanteras
kegiatan jenayah di negara ini. Semestinya usaha berterusan itu didorong oleh
kesungguhan kerajaan untuk melihat rakyat Malaysia menjalani kehidupan dalam
keadaan selamat.
Usaha
kerajaan itu sememangnya penting kerana kegagalan berbuat demikian pasti akan
memberi kesan kepada perkembangan ekonomi, politik dan sosial di negara ini.
Negara yang
tidak selamat akan dijauhi oleh para pelabur selain terdedah kepada campur
tangan asing yang akan mencorakkan politik serta mengubah percaturan sosial
penduduk.
Sebab itu
soal keselamatan menjadi agenda utama kerajaan malah pihak berkuasa tidak
pernah kedekut berbelanja dalam hal-hal berkaitan keselamatan.
Dan kelmarin
Perdana Menteri mengarahkan tiga lagi langkah penting dilaksanakan untuk
menjamin keselamatan penduduk dan memantapkan pasukan Polis Diraja Malaysia
(PDRM).
Namun
kesungguhan kerajaan menambah anggota polis, memasang kamera litar tertutup
(CCTV) di tempat awam, menyewa bangunan kedai untuk dijadikan balai polis dan
menambah pusat latihan baru hanya sia-sia jika orang ramai tidak memberikan
kerjasama.
PDRM tidak
boleh dibiarkan bersendirian menangani jenayah. Setiap usaha ke arah menjamin
keselamatan rakyat negara ini hanya akan membuahkan hasilnya dengan adanya
kerjasama semua pihak.
Telah
terbukti bahawa ada jenayah yang tercetus di negara ini berpunca daripada
keengganan orang ramai memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Sikap
mementingkan diri sendiri misalnya dilihat oleh penjenayah sebagai peluang
serta ruang untuk mereka melakukan jenayah. Contoh paling mudah, ada penghuni
rumah yang langsung tidak mengambil tahu perihal jiran mereka sehingga tidak
sedar berlakunya rompakan di situ.
Begitu juga
dengan langkah memasang CCTV di tempat awam. Biarpun ia dihubungkan terus ke
pihak berkuasa yang berkenaan, namun kerjasama orang ramai memberi maklumat
mengenai jenayah yang berlaku di satu-satu tempat merupakan jalan paling berkesan
untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan.
Kita lihat
masih ada jenayah yang dilakukan kerana mendapat sokongan orang ramai. Ada
peniaga yang begitu berani menjual cakera padat video cetak rompak di tempat
awam yang dipasang CCTV kerana wujudnya permintaan memberangsangkan.
Sesungguhnya
jenayah seumpama itu boleh ditangani jika orang ramai memberikan kerjasama dan
bukannya menunggu polis dan pihak berkuasa lain turun padang semata-mata.
Oleh itu,
setiap rakyat Malaysia mesti membantu kerajaan menjayakan langkah-langkah
membanteras kegiatan jenayah. Ia boleh dilakukan dengan mudah jika rakyat turut
berikan kerjasama.
(Rencana Pengarang, Utusan Malaysia,
10 Januari 2008)
No comments:
Post a Comment