Thursday, February 16, 2012

Generasi muda perlu diterap cara berhemah urus kewangan


MENABUNG amalan yang wajar diterapkan, khususnya di kalangan kanak-kanak bagi memberi pendedahan sejak usia awal terhadap pengurusan kewangan. Pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebung menjadi asas penting terhadap tabiat yang baik untuk masa depan. 

Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca), sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif pada peringkat nasional dan antarabangsa dalam memberikan maklumat, pendidikan dan perlindungan pengguna juga optimis bahawa pengguna perlu dilatih pada usia muda membina tabiat penggunaan dan kewangan yang baik.

Justeru, sudah menjadi matlamat Fomca untuk meningkatkan kemahiran celik kewangan termasuk membuat perancangan kewangan, bajet dan penggunaan lain secara berhemah. Dalam program yang dilaksanakan oleh Fomca mendapati tabiat berbelanja secara bijak mengikut keperluan kanak-kanak masih berada pada tahap rendah. Program itu bagi meninjau corak perbelanjaan kanak-kanak dan remaja membabitkan 30 orang yang berusia antara lima tahun, 10 tahun dan 15 tahun, diadakan sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2010 dengan kerjasama Pasar Raya Besar Giant, di Bandar Kinrara, baru-baru ini.

Sebaliknya mengikut hasil program itu, mentaliti kanak-kanak dan remaja dalam berbelanja hanya mengikut keinginan dan keutamaan berdasarkan peringkat usia mereka.

Menerusi aktiviti itu, setiap peserta diperuntukkan wang sebanyak RM100 untuk berbelanja. Wang itu dipegang oleh seorang sukarelawan mengikuti peserta dan merekodkan pembelian dalam senarai perbelanjaan.

Produk dikategorikan kepada tujuh iaitu makanan, alat permainan, produk penampilan diri, produk hiburan, alat tulis, produk kegunaan rumah dan produk telekomunikasi, khususnya telefon bimbit. Peserta dibenarkan untuk membeli di dalam pasar raya dan kedai di sekitarnya. 

Hasil analisis dua pakar dari Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (mengkaji pola perbelanjaan) dan Persatuan Dietitian Malaysia (meneliti khasiat produk makanan dibeli), jelas menggambarkan semua golongan ada kecenderungan masing-masing dalam memilih barangan dan makanan yang dibeli.

Berdasarkan kepada pola perbelanjaan bagi kanak-kanak berusia lima tahun mendapati, alat permainan menjadi produk yang paling tinggi kecenderungan membeli iaitu kira-kira 54 peratus, diikuti makanan (20 peratus); produk penampilan diri (13 peratus); alat tulis (10 peratus) dan produk keperluan rumah (tiga peratus).

Pecahan pola perbelanjaan bagi kanak-kanak berusia 10 tahun pula memilih makanan sebagai produk utama dibeli daripada RM100 yang diberikan, iaitu meliputi 33 peratus diikuti alat permainan (25 peratus); produk penampilan diri (19 peratus); alat tulis (14 peratus) dan produk kegunaan rumah (lapan peratus).

Perbezaan ketara dapat dilihat pola perbelanjaan kepada remaja berumur 15 tahun, iaitu pada peringkat usia sebegini, pilihan utama mereka adalah membeli makanan iaitu meliputi 31 peratus; diikuti produk penampilan diri (28 peratus); produk hiburan (25.3 peratus); alat tulis (23 peratus) dan produk kegunaan rumah (14 peratus).

Apa dapat dirumuskan berdasarkan kepada penganalisaan itu, bahawa pola perbelanjaan kanak-kanak dan remaja jauh berbeza, iaitu kanak-kanak pastinya membeli alat permainan sebagai keperluan utama mereka, berbanding remaja suka produk penampilan diri.

Ini jelas menunjukkan semakin meningkat usia seseorang, maka mereka lebih banyak berbelanja untuk menjaga penampilan diri, selain daripada produk hiburan seperti alat telekomunikasi dan telefon bimbit.

Dari segi pemilihan makanan pula, kanak-kanak dan remaja lebih cenderung membeli makanan mengandungi gula yang tinggi seperti gula-gula, minuman soda dan biskut.

Semua hasil kajian itu boleh digunakan Fomca untuk merancang program membabitkan pengguna dengan menekankan pendidikan terhadap pengurusan kewangan bermula awal usia, sekali gus membentuk tabiat yang baik dari segi mengawal perbelanjaan.

Oleh Jamiah Shukri
jamia@bharian.com.my
2010/03/23

No comments: