Friday, February 17, 2012

Berhemah Guna Kad Kredit


Perubahan cara kita melakukan transaksi pembayaran berubah mengikut kemajuan ekonomi dan kemajuan teknologi yang kita capai. Semua ini disebabkan oleh kemajuan yang dicapai dalam bidang teknologi. Dalam era ledakan teknologi maklumat kini, transaksi perbankan online semakin berkembang. Urusan perbankan sudah dapat dibuat di rumah dan di luar waktu pejabat - sesuatu yang mustahil satu ketika dahulu.

Kad kredit merupakan satu mekanisme pembayaran elektronik yang semakin meningkat kepentingannya. Kalau dahulu, seawal zaman kad kredit mula diperkenalkan, mereka yang memilikinya akan dikaitkan dengan status kewangan yang mantap sekali gus menggambarkan imej dan prestij yang unggul. Namun, persepsi tersebut di negara kita semakin berubah. Memiliki kad kredit atau kad caj bukan lagi satu prestij kedudukan kewangan yang baik, tetapi ia lebih merupakan satu keperluan.

Perkara ini menjadi penyumbang kepada meningkatnya permintaan untuk kad kredit. Dari membeli-belah, membayar tol, saman trafik, bil utiliti dan sebagainya, masyarakat negara ini semakin senang dengan kaedah pembayaran elektronik di mana pemegang kad kredit mendapat akses untuk semua transaksi pembayaran dengan mudah.

Selain itu, faktor persaingan antara institusi kewangan untuk menguasai pasaran kad kredit turut menyumbang kepada peningkatan jumlah mereka yang mempunyai kad tersebut. Satu anggaran menyatakan bahawa mereka yang layak memiliki kad kredit di negara ini adalah seramai lima juta orang. Harus diingat bahawa kadangkala seseorang individu mempunyai lebih daripada satu kad kredit.

Apa yang dibimbangkan bila pihak institusi kewangan lebih mementingkan penguasaan pasaran kad kredit sehingga tahap kawalan menyelesai hutang pemohon tidak menjadi faktor utama dalam meluluskan permohonan mendapatkan kad. Ini dapat dilihat di mana permohonan memiliki kad kredit semakin mudah. Dengan pendapatan minimum RM18,000 setahun (RM1,500 sebulan), seseorang sudah layak untuk memohon.

Ini telah menyebabkan pengeluaran kad kredit meningkat secara mendadak. Laporan di mana peningkatan jumlah kes bankrap di kalangan individu yang melibatkan pemegang kad kredit yang gagal menjelaskan hutang mereka harus mendapat perhatian pihak bertanggungjawab. Lebih membimbangkan apabila golongan yang diisytiharkan bankrap ini terdiri daripada golongan muda yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada meningkatkan tabungan dan pelaburan.

Langkah untuk meningkatkan jumlah hutang yang tidak berbayar dari RM10,000 kepada RM30,000 bagi seseorang itu untuk layak diisytiharkan muflis bukanlah satu cara untuk mengurangkan masalah muflis yang semakin meningkat terutamanya yang melibatkan pemegang kad kredit. Kawalan terhadap sikap boros dan budaya berbelanja melebihi daripada kemampuan sangat penting dalam memastikan asas jangka panjang ekonomi negara adalah dalam keadaan baik.

Pergantungan terhadap kredit dalam menjana perbelanjaan isi rumah sebagai strategi menjana ekonomi hanya baik untuk jangka pendek tetapi lebih bersifat mengundang malapetaka bagi jangka masa panjang.

- Mohd. Nahar Mohd. Arshad, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
8 Julai 2004    Utusan Malaysia

No comments: