DALAM kehidupan ini, tidak ada benda (meskipun sebesar zarah) yang akan kekal selamanya kerana hukum alam 'menjanjikan' - jika sudah tiba pada masanya, sesuatu itu pasti akan berubah.
Selagi bernama manusia,
kita hanya mampu berusaha untuk mengekalkan sesuatu keadaan itu selama mungkin
namun dengan kudrat manusia yang terbatas, kita tidak akan mampu 'menahan' ia
berubah menjadi sejarah.
Sejarah China sendiri
membuktikan, tidak ada dinasti yang bertahan untuk selamanya dan dalam lipatan
sejarah China yang panjang, dinasti silih berganti dalam tempoh lebih 2,000
tahun di China sebelum ia berakhir seabad lalu.
Ahad, 1 Januari lalu -
pada saat berbilion-bilion penduduk dunia riang menyambut kedatangan tahun baru
2012, China sebenarnya 'menyambut' ulang tahun ke-100 'penggulingan' Dinasti
Qing (pada tahun 1912) - mengakhiri sistem pemerintahan maharaja China.
Pada waktu itu, China
yang disebut sebagai Republik China (atau dalam bahasa Cina disebut Zhonghua
Minguo) menggantikan Dinasti Qing dengan menggulingkan Maharaja Pu Yi dan
'kejayaan' menumbangkan sistem maharaja pada tahun 1912 jelas membuktikan
bahawa politik China ketika itu telah berubah mengikut kehendak generasi
semasa.
Maharaja Pu Yi atau nama
penuhnya Aisin-Gioro Pu Yi yang merupakan maharaja ke-12 Dinasti Qing dan
merupakan maharaja terakhir China 'mengukir' banyak sejarah kepada negara itu.
Pu Yi dilahirkan di
rumah agam Putera Chun di Peking (nama lama bagi Beijing) pada 7 Februari 1906
dan Pu Yi merupakan cucu sulung kepada Yi Huan yang merupakan anak ketujuh
Maharaja Tao Kuang (1821-1850) yang membawa gelaran Putera Chun Pertama (I).
Meskipun bapa Pu Yi,
Zaifeng merupakan anak kelima Putera Chun I, namun Zaifeng diangkat sebagai
Putera Chun Kedua (II) kerana kematian adik-beradik lelaki yang lain pada usia
kecil manakala abang keduanya (bapa saudara Pu Yi) telah dibawa ke istana dan
ditabal menjadi Maharaja Kuang Hsu pada 1875.
Takdir Pu Yi berubah
pada 13 November 1908 apabila Maharani Balu (Empress Dowanger) Tzu Hsi dan
Maharaja Kuang Hsu yang sedang gering pada waktu itu memutuskan Pu Yi sebagai
pewaris takhta.
Dua hari selepas Pu Yi
melangkah masuk ke Istana Kota Larangan, Maharani Balu (Empress Dowanger) Tzu
Hsi dan Maharaja Kuang Hsun mangkat dan selepas berkakhirnya tempoh berkabung,
Pu Yi ditabal menjadi maharaja dan menaiki takha.
Hari pertabalan Pu Yi
sebagai maharaja pada 21 Diember 1908 juga menyimpan sejarah yang 'sangat luar
biasa'. Meski sejarah ini sudah lebih seabad berlalu, tetapi bagi rakyat China
ia dijadikan sebagai 'guru' - sejarah yang amat pahit untuk diterima tetapi
sangat banyak pengajaran di dalamnya.
Pada istiadat
pertabalannya sebagai maharaja di atas singahsana yang telah digunakan sejak
Dinasti Ming lagi, Pu Yi yang pada usianya yang belum pun mencecah tiga tahun
tiba-tiba menangis dan berteriak; ''Saya mahu pulang ke rumah, saya tidak mahu
tinggal di sini."
Menurut akal kita yang
waras, apalah diketahui oleh seorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun, 10
bulan, 14 hari tentang kedudukan seorang maharaja yang berada di puncak
hierarki sosial masyarakat, berkuasa mutlak dalam pemerintahan, pemilik tanah
dan harta.
Dalam usia sementah itu,
manalah Pu Yi mampu untuk mengerti bahawa peranan maharaja harus dilihat
mempunyai kombinasi beberapa aspek antara falsafah Kong Fu Tze dan kepercayaan
masyarakat dengan perlakuan-perlakuan politik semasa.
Kedudukan politik
seseorang maharaja berdasarkan konsep mandat syurga yang meletakkan mereka
sebagai 'wakil syurga' atau 'anak syurga' jauh sekali dapat difahami oleh anak
kecil ini.
Namun bagi
pembesar-pembesar dan hulubalang-hulubalang Istana Kota Larangan, tangisan dan
teriakan Pu Yi "'Saya mahu pulang ke rumah, saya tidak mahu tinggal di
sini" dianggap telah mencemar dan mencalar istiadat pertabalan seorang
maharaja Cina yang selama lebih 2,000 tahun berlangsung dalam suasana yang
penuh kebesaran dan kemuliaan.
Lebih tragis bagi mereka
ialah apabila ayah Pu Yi, Zaifeng yang berada di sisi Pu Yi di atas singgahsana
cuba memujuk anaknya dengan menyebut; ''Jangan menangis, jangan menangis…Ia
akan berakhir tidak lama lagi…Ia akan berakhir tidak lama lagi!''
Kalimat ''Ia akan
berakhir tidak lama lagi!" itu telah menyentak jantung pembesar-pembesar
dan hulubalang-hulubalang Istana Kota Larangan dan mereka yang terkejut
mendengarnya menganggap kalimat itu sebagai suatu 'bala' yang akan memusnahkan
Dinasti Qing dan sistem pemerintahan maharaja.
Benarlah, lebih tiga
tahun kemudian (1912), kegemilangan Dinasti Qing yang memegang takhta
pemerintahan China selama 276 tahun hancur dan Pu Yi sebagai maharaja Cina
terakhir telah digulingkan dalam revolusi yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen.
Pu Yi melakar sejarah
yang sangat hitam selepas digulingkan dari takhta. Selepas revolusi, beliau
masih diizinkan untuk tinggal di dalam Istana Kota Larangan tetapi pada usia 19
tahun, Pu Yi diarah mengosongkan istana.
Bermula detik itu, Pu Yi
memulakan 'pengembaraan' yang panjang - memihak kepada Jepun dalam Perang Dunia
Kedua dan diangkat menjadi 'raja boneka' dalam negara Manchu (Man Zhou Guo -
kawasan yang dijajah Jepun) yang merupakan wilayah China dan bersempadan dengan
Rusia, Korea Utara dan Mongolia.
Setelah kekalahan Jepun
pada Perang Dunia Kedua, Kesatuan Soviet menguasai Wilayah Manchu dan Pu Yi
berjaya ditangkap di lapangan terbang ketika cuba melarikan diri ke Jepun. Pu
Yi ditahan di Rusia dan menjalani hukuman penjara selama lima tahun sebelum
dihantar kembali ke China pada tahun 1950.
Beliau yang mengakui
kesalahannya dan menyatakan penerimaannya terhadap pembaharuan, pendidikan dan
revolusi telah menjalani pemulihan di Penjara Fushun War Criminal selama lebih
kurang lapan tahun.
Pada tahun 1958, Pu Yi
telah mendapat pengampunan dan dibebaskan oleh kerajaan China yang diperintah
oleh Parti Komunis. Lapan tahun di Penjara Fushun War Criminal, Pu Yi telah
'dididik untuk menjadi seorang manusia biasa'.
Pu Yi meninggal dunia
pada usia 61 sebagai rakyat biasa dengan sejarah yang penuh warna-warni. Pada
masa yang sama, sejarah yang dilakar Pu Yi membuatkan manusia yang hidup pada
hari ini cuba mentafsir apa yang sebenarnya telah menyumbang kepada keruntuhan
sistem Maharaja China selepas lebih 2,000 tahun berkuasa.
DATUK RUHAIDINI ABD. KADIR menulis dari Beijing Language and Culture University, China.