Wednesday, August 15, 2012

Soal Jawab Novel Azfa Hanani dan Kembara Amira


Soal Jawab Novel:

1.         Kepercayaan kepada takdir Tuhan turut digarap oleh pengarang dalam novel yang dihasilkan.
Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan peristiwa yang menunjukkan Tuhan amat berkuasa untuk menentukan sesuatu kejadian.

Contoh Jawapan:

Novel Azfa Hanani:
a.         Peristiwa motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan berada di wad kecemasan. Tragedi ini menunjukkan bahawa takdir Tuhan telah menentukan nasib yang dialami oleh insan yang melakukan perbuatan salah.

b.         Peristiwa Azfa Hanani telah diterima kembali untuk tinggal bersama keluarga Datin Maziah setelah dia dihalau keluar dari rumah. Tuhan telah menentukan takdir yang lebih berpihak kepada orang yang benar dan mempunyai hati yang baik. Golongan yang bersalah akhirnya akan insaf dan kembali ke pangkal jalan setelah mendapat petunjuk daripada Tuhan. Tuhan berhak memberikan hidayah dan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki oleh-Nya.

Bovel Kembara Amira:
a.         Peristiwa Tau menemui anaknya Sabi atau Malique semula setelah berpisah hampir 20 tahun. Tuhan berkuasa menemukan semua ahli keluarga yang telah berpisah. Peristiwa di puncak Gunung Gua Gajah apabila Itai dapat mengetahui bahawa Tau ialah ayah kandungnya dan Ludin yang membesarkannya selama ini ialah bapa saudaranya.

b.         Peristiwa kapal terbang Cessna 310 yang dipandu oleh Ridley bersama isterinya Brenda telah terhempas. Kedua-dua mereka telah berkorban. Anak mereka Samantha yang sepatutnya menjalani kehidupan sebagai orang Inggeris Australia akhirnya ditakdirkan hidup dalam keluarga masyarakat Orang Asli suku Semai dan berkahwin dengan Tau.





2.         Jelaskan konflik dalaman yang dialami oleh watak-watak dalam novel yang anda pelajari.

Novel Azfa Hanani:
a.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila memikirkan kesalahannya mencuri buku rujukan dari perpustakaan Sekolah Menengah Sri Dian. Dia bimbang jika kesalahannya dapat dikesan oleh pihak sekolah dan hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.

b.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila baru saja sampai di rumah Datin Maziah. Dia memikirkan reaksi dan perkara yang akan berlaku kerana disuruh menyamar sebagai Tengku Murni.

c.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila memikirkan sikap Tengku Muzaffar dan Datuk Tengku Makmur yang menghina dan memandang rendah terhadap dirinya.

d.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila kembali semula ke rumah Pak Longnya di Kampung Merpati setelah dihalau keluar dari rumah oleh Datin Maziah. Dia memikirkan masa depan persekolahan dan cita-citanya yang terpaksa berubah arah.

e.         Datin Maziah mengalami konflik kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa anak perempuannya Tengku Murni telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya sehingga hidupnya tidak sempurna, murung dan berasa sedih.

Novel Kembara Amira:
a.         Jennifer mengalami konflik apabila masyarakat Orang Asli masih tidak dapat menerima dirinya yang berlainan warna kulit dengan mereka. Hal ini menyebabkan dia melarikan diri dengan mengikut Johnny.

b.         Tau mengalami konflik apabila memikirkan anaknya Sabi yang telah dilarikan oleh Ipah. Tau amat tertekan apabila Ipah melarikan diri bersama Johnny dengan membawa Sabi dan meninggalkan Itai. Akibat malu dan tertekan, Tau hidup seorang diri di hutan dan mengasingkan diri daripada masyarakatnya.

c.         Amira mengalami konflik apabila memikirkan lelaki berkulit putih yang sering kelihatan bersama Malique. Amira ingin mengetahui siapa sebenarnya lelaki itu.

d.         Jacinta mengalami konflik apabila memikirkan tindakan bapanya Baba Teck yang telah berkahwin semula setelah kematian ibunya empat tahun yang lalu. Jacinta tidak dapat menerima hakikat bahawa bapanya seperti sudah melupakan ibunya yang telah tiada.

e.         Malique mengalami konflik apabila memikirkan tindakan seseorang yang mengurungnya di puncak Gunung Gua Gajah. Malique tidak tahu siapa dan tujuan dia dikurung di tempat yang gelap itu. Orang itu hanya menghulurkan bantuan makanan melalui lubang kecil di bawah pintu dan tidak pernah melihat orang yang telah menyelamatkannya.

2 comments:

zure said...

thnkxx its help.

Levice Dora said...

Thanks !

Loading...