Wednesday, October 05, 2016

Doktrin Pengasingan Kuasa

Pengenalan

Doktrin Pengasingan Kuasa adalah satu konsep asas  dalam pemerintahan demokrasi moden.  Doktrin ini mula dilahirkan oleh seorang pemikir di Perancis.

Terlebih dahulu perlu diingatkan bahawa 'Pengasingan Kuasa' bukanlah sama dengan 'Pembahagian Kuasa' walaupun kedua-duanya mungkin ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri.

Doktrin Pengasingan kuasa secara dasar bererti kuasa-kuasa pemerintahan boleh diasingkan kepada tiga iaitu:-
1. Kuasa Perundangan/Legislatif
2. Kuasa Eksekutif
3. Kuasa Kehakiman

Perkara pokok tentang pengasingan kuasa ialah untuk menentukan supaya orang atau badan yang sama tidak dipertanggungjawabkan untuk menggubal undang-undang dan menguatkuasakannya.

Bermakna jika konsep ini diikuti sepenuhnya maka tiada sesiapapun dari ketiga-tiga cabang pemerintahan boleh mengambil bahagian dalam fungsi cabang yang lain.

Pihak Eksekutif sepatutnya tidak boleh menjadi seorang ahli badan Perundangan (Legislatif) dan Badan Kehakiman semestinya bebas dari campur tangan pihak Eksekutif dan Legislatif. Tidak patut ada dwi fungsi. Masing-masing hanya menjaga rukun rumahtangga sendiri dan tidak mencampuri hal yang berlaku di dalam bilik orang lain.

Seperkara yang tidak dapat dipisahkan dalam membicarakan topik Doktrin Pengasingan Kuasa ialah Konsep 'Check & Balance' (Kawalan dan Imbangan). Konsep ini membawa maksud bahawa ketiga-tiga cabang pemerintahan itu mestilah berdiri sama tinggi duduk sama rendah.  Tidak boleh satu pihak menguasai kehendak pihak yang lain, ditakuti akan berlaku pengaruh tidak berpatutan dan menimbulkan ketidakadilan akibat pemusatan kuasa ke atas satu-satu cabang pemerintahan itu.  Umpama orang yang hendak membina rumah, jika tiang-tiang yang ada tidak sama panjang atau saiznya tentu tidak menjadi; kalau jadipun tentu tak molek.  Lebih-lebih lagi jika tiang-tiang itu sudah buruk dan reput.  Bak kata Loa Tzu falsafah Taoist:

'Kurang pemimpin melakukan atau berkata sesuatu lebih gembiralah rakyatnya; berlebihannya pemimpin bersifat angkuh dan bercakap besar lebih malanglah 
rakyatnya.'

Petikan itu mungkin benar jika berlaku pemusatan kuasa akibat gagalnya Doktrin Pengasingan Kuasa dan tiada konsep 'Check & Balance' (Kawalan dan Imbangan Kuasa).

Di Malaysia, badan Kehakiman boleh mengisytiharkan sesuatu Akta Perlimen bercanggah dengan Perlembagaan. (Perkara 4, Fasal 1).  Pada masa yang sama Perlembagaan Persekutuan - Perkara 122B juga memperuntukkan bahawa perlantikan kehakiman ke mahkamah-mahkamah Tertinggi adalah dibuat oleh pihak Eksekutif yang menunjukkan ada kawalan tidak langsung terhadap badan
kehakiman.  Pihak Eksekutif pula dikawal oleh Parlimen dan bertanggungjawab kepadanya.  Oleh yang demikian sistem pengasingan kuasa berserta dengan Konsep Kawalan dan Imbangan nampak kepentingan dalam mengelakkan pemusatan kuasa pemerintahan  dalam tangan sesuatu kumpulan tertentu sahaja. Jika doktrin itu diketepikan langsung, penyalahgunaan kuasa adalah suatu kemungkinan

No comments: