1. Najib mendakwa bahawa pemerintahannya adalah demokratik dan sebarang percubaan untuk menyingkirnya bermakna menolak demokrasi. Dakwaan ini tidak berasas sama sekali. Sebenarnya ia menjadi bahan ketawa.
2. Satu dari amalan yang diterima demokrasi ialah penyingkiran pemimpin yang tidak berjaya atau melakukan sesuatu yang tidak baik atau salah terhadap negara. Di mana-mana sahaja dalam negara demokratik pemimpin disingkir sebelum pun tamat edahnya.
3. Demikian Perdana Menteri Australia, Tony Abbot, letak jawatan kerana partinya memilih Presiden baru. Di Britain Perdana Menteri letak jawatan kerana kalah dalam pungutan suara berkenaan Brexit.
4. Di Brazil Presiden digantung oleh Dewan Senat untuk menghindar kemungkinan Presiden menganggu siasatan terhadapnya.
7. Di Malaysia Najib sendiri berperanan dalam penyingkiran Abdullah Badawi sebelum tamat edahnya.
8. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang ialah Najib sebagai Perdana Menteri sudah pun menolak demokrasi. Buktinya jelas dan bertimbun-timbun.
9. Yang pertama perpisahan kuasa antara pihak legislative (pembuat undang-undang) , executive (pentadbir, polis dan tentera) dan judiciary (penghakiman) setelah menguasai jabatan Pendakwa Raya sudah tidak ada lagi. Najib menguasai ketiga-tiga badan ini, sesuatu yang bercanggah dengan amalam demokrasi.
10. Ahli Parlimen BN pula tidak bebas dan dipaksa melalui berbagai cara supaya sokong dan lulus apa sahaja yang dikemuka atau dilakukan oleh Najib. Jika tidak mereka akan digantung, di turun pangkat dan disingkir.
11. Undi tak percaya tidak boleh diadakan terhadap Najib kerana sebab yang sama.
12. Pegawai-pegawai eksekutif seperti pentadbir, polis dan tentera tidak bebas menjalankan tugas mereka kerana Najib mengikat tangan mereka dengan rasuah, ugutan menyingkir, menurunkan pangkat, menukar jawatan, mengancam pencen mereka dan lain-lain. Yang sudah bersara tidak berani mendedah kesalahan yang mereka dipaksa lakukan kerana takut dan diugut dengan berbagai cara.
13. Peniaga, kontraktor, akhbar dan pemberita kecil dan besar juga demikian. Berbagai tuduhan dibuat terhadap mereka, gangguan melalui siasatan tanpa sebab oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri, pembatalan kontrak Kerajaan, disenarai hitam, sekatan berhutang dengan bank dan bermacam lagi.
14. Undang-undang keselamatan baru membelakangkan sama sekali hak rakyat dibicara dalam mahkamah jika ditangkap dan dimasuk dalam tahanan. Jika rakyat atau anggota keselamatan terbunuh, “inquest” iaitu pemeriksaan akan sebab kematian oleh Majistret tidak boleh diadakan. Persoalan di mahkamah berkenaan kes juga tidak dibenar.
15. Baru-baru ini apabila komen dibuat oleh seseorang berkenaan kematian seorang tokoh politik, polis menangkap orang itu tanpa waran, menyoalnya selama 12 jam, sebelum dilepas. Ketua Polis Negara dakwa bahawa waran tangkap tidak diperlukan. Siapa sahaja boleh ditangkap oleh polis tanpa waran.
16. Semua ini adalah bukti jelas dan terang bahawa Najib sudah hapuskan demokrasi di Negara ini. Yang patut ditangkap dan dihadap ke mahkamah kerana mensabotaj demokrasi di Malaysia ialah Najib.
17. Selagi Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia selama itulah Malaysia tidak demokratik. Lebih dari itu Malaysia akan diperintah oleh pemerintahan kuku besi yang tidak pegang kepada undang-undang.
No comments:
Post a Comment