Biblioholis membawa maksud pencinta buku. Biblioholisme pula bermaksud kecanduan luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan dalam membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku. Ciri umum seorang pencinta buku adalah mereka yang terdiri daripada pembaca buku umum yang merentas disiplin. Biblioholis ini membaca pelbagai disiplin ilmu, buku-buku wacana, membaca bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi untuk memperluas fikiran dan mengasah minda. Dunia pencinta buku berbeza dengan dunia pembaca biasa. Biblioholis seorang yang 'lahap membaca' sehingga 'terhumban' dalam dunia 'ecstasy membaca'. Sifat-sifat biblioholis adalah seorang yang rakus membaca, tamak mengumpul buku, dan gila membeli buku.
Antara senario yang menunjukkan keunikan dan kepelikan biblioholis adalah seperti berikut:
a) Pergi ke toko buku dan membeli buku yang anda minati, tetapi apabila balik ke rumah, anda menyedari anda telah pun mempunyai buku tersebut dan membeli buat kali kedua.
b) Tempat pertama yang anda kunjungi di kompleks beli-belah adalah toko buku.
c) Tidak ingat berapa banyak buku yang telah anda beli dan berapa jumlah wang yang anda habiskan untuk membeli buku.
d) Pergi ke pasar untuk membeli barang, tetapi telah membeli buku sehingga mengacau bajet untuk membeli keperluan yang lain.
e) Menonton televisyen dengan buku di riba.
f) Membeli terlalu banyak buku tetapi banyak yang tidak sempat dibaca.
g) Membeli buku kerana ada jualan murah atau diskaun yang tinggi.
h) Anda menunggu orang atau giliran untuk membuat urusan di pejabat, tetapi tidak ada buku atau bahan bacaan yang menemani anda menyebabkan anda berasa tidak selesa.
i) Ke luar stesyen tanpa lupa membawa buku.
Sebahagian besar daripada senario tersebut pernah saya alami. Kalau begitu, saya seorang biblioholis, hahahaha....
Walau bagaimanapun, saya bangga. Dalam rumah saya, ada beberapa buah rak buku yang terkumpul jenis buku yang pelbagai dan dalam tiga bahasa utama, iaitu bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.
Kata Anne Quidlen, "Books are the planes, and the trains, and the road. They are destinations, and the journey. They are home."
Al-Jahiz pernah berkata: "Buku itu diam apabila engkau menghendakinya diam, berbicara apabila engkau menghendakinya berbicara. Ia tidak akan mengganggu kalau engkau sedang bekerja tetapi apabila engkau berasa kesepian, ia akan menjadi temanmu yang baik. Engkau tidak perlu marah dan berkecil hati kepadanya. Ia merupakan teman yang tidak menipu atau bermuka dua." (Ahmad Shallaby, 1976. Sejarah Pendidikan Islam. Singapura: Pustaka Nasional).
Menjadi biblioholis sebenarnya baik. Kita dapat mengembangkan minda dan pemikiran kita dengan banyak membaca. Pandangan kita juga tidak menjadi sempit, dan kita boleh menerima banyak pandangan yang berbeza. Kalau semua rakyat Malaysia menjadi biblioholis, sudah tentu banyak masalah dalam negara, terutama yang berhubung dengan isu perkauman, dapat diselesaikan dengan aman.
(Refleksi selepas membaca rencana "Peranan Pencinta Buku Dalam Memperkasakan Buku Ilmiah oleh Shaharom TM Sulaiman dalam Pemikir, Januari - Mac 2007.)
No comments:
Post a Comment