Tuesday, March 31, 2009

Saya Biblioholis

Biblioholis membawa maksud pencinta buku. Biblioholisme pula bermaksud kecanduan luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan dalam membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku. Ciri umum seorang pencinta buku adalah mereka yang terdiri daripada pembaca buku umum yang merentas disiplin. Biblioholis ini membaca pelbagai disiplin ilmu, buku-buku wacana, membaca bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi untuk memperluas fikiran dan mengasah minda. Dunia pencinta buku berbeza dengan dunia pembaca biasa. Biblioholis seorang yang 'lahap membaca' sehingga 'terhumban' dalam dunia 'ecstasy membaca'. Sifat-sifat biblioholis adalah seorang yang rakus membaca, tamak mengumpul buku, dan gila membeli buku.
Antara senario yang menunjukkan keunikan dan kepelikan biblioholis adalah seperti berikut:
a) Pergi ke toko buku dan membeli buku yang anda minati, tetapi apabila balik ke rumah, anda menyedari anda telah pun mempunyai buku tersebut dan membeli buat kali kedua.
b) Tempat pertama yang anda kunjungi di kompleks beli-belah adalah toko buku.
c) Tidak ingat berapa banyak buku yang telah anda beli dan berapa jumlah wang yang anda habiskan untuk membeli buku.
d) Pergi ke pasar untuk membeli barang, tetapi telah membeli buku sehingga mengacau bajet untuk membeli keperluan yang lain.
e) Menonton televisyen dengan buku di riba.
f) Membeli terlalu banyak buku tetapi banyak yang tidak sempat dibaca.
g) Membeli buku kerana ada jualan murah atau diskaun yang tinggi.
h) Anda menunggu orang atau giliran untuk membuat urusan di pejabat, tetapi tidak ada buku atau bahan bacaan yang menemani anda menyebabkan anda berasa tidak selesa.
i) Ke luar stesyen tanpa lupa membawa buku.
Sebahagian besar daripada senario tersebut pernah saya alami. Kalau begitu, saya seorang biblioholis, hahahaha....
Walau bagaimanapun, saya bangga. Dalam rumah saya, ada beberapa buah rak buku yang terkumpul jenis buku yang pelbagai dan dalam tiga bahasa utama, iaitu bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.
Kata Anne Quidlen, "Books are the planes, and the trains, and the road. They are destinations, and the journey. They are home."
Al-Jahiz pernah berkata: "Buku itu diam apabila engkau menghendakinya diam, berbicara apabila engkau menghendakinya berbicara. Ia tidak akan mengganggu kalau engkau sedang bekerja tetapi apabila engkau berasa kesepian, ia akan menjadi temanmu yang baik. Engkau tidak perlu marah dan berkecil hati kepadanya. Ia merupakan teman yang tidak menipu atau bermuka dua." (Ahmad Shallaby, 1976. Sejarah Pendidikan Islam. Singapura: Pustaka Nasional).
Menjadi biblioholis sebenarnya baik. Kita dapat mengembangkan minda dan pemikiran kita dengan banyak membaca. Pandangan kita juga tidak menjadi sempit, dan kita boleh menerima banyak pandangan yang berbeza. Kalau semua rakyat Malaysia menjadi biblioholis, sudah tentu banyak masalah dalam negara, terutama yang berhubung dengan isu perkauman, dapat diselesaikan dengan aman.
(Refleksi selepas membaca rencana "Peranan Pencinta Buku Dalam Memperkasakan Buku Ilmiah oleh Shaharom TM Sulaiman dalam Pemikir, Januari - Mac 2007.)

Thursday, March 19, 2009

PTK

Selepas hari ini, saya tidak perlu lagi menduduki ujian PTK bagi kertas yang sama. Khabarnya sesiapa yang telah melepasi tahap III dianggap lulus dan tidak perlu mengulang ambil kertas yang sama. Tetapi lulus saja tahu? Tiada anjakan gaji kecuali anda mendapat tahap IV.

Saya telah menduduki kertas II ini bagi kali yang kelima. Dua kali saya mengambil kertas Pengurusan Peperiksaan, tiga kali mengambil kertas Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran. Keputusan bagi empat kali sebelum ini ialah tahap III.

Semoga kali yang kelima ini memberi tuah dan rahmat kepada saya.

Saturday, March 14, 2009

Liverpool 4 Manchester United 1


Siapa kata Old Trafford kebal?

Siapa kata Edwin van der Sar tidak boleh ditewaskan?

Tengok bagaimana hebatnya Liverpool merobek pintu gol mereka sebanyak 4 kali.

Liverpool masih ada peluang untuk merebut Juara EPL. Pintu persaingan masih terbuka.

Inilah kemenangan yang dinanti-nantikan oleh peminat Liverpool. Saya amat gembira dengan kemenangan ini.


Cuti Sekolah

Hari ini sepatutnya pergi ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu seminar anjuran Teachers' Christian Fellowship. Tetapi semalam, saya berasa badan saya lemah. Walau bagaimanapun, selepas makan dua biji ubat panadol pada sebalah pagi sewaktu di sekolah, saya berasa saya sudah sihat semula. Aktiviti mingguan bermain bowling di Prai Megamall pada sebelah petang diteruskan. Pencapaian saya agak lemah pada hari itu. Selepas balik ke rumah, saya telah pergi berjumpa doktor dan telah diberi ubat demam panas serta anti biotik.

Jadi hari ini saya berehat sahaja di rumah. Malam ini mahu menyaksikan perlawanan EPL antara Liverpool dengan Manchester United. Liverpool adalah pasukan sokongan saya, sudah tentu saya menjangkakan Steven Gerrard dan Fernando Torres akan menjaringkan gol.

Tuesday, March 10, 2009

Monday, March 09, 2009

Air Itam Team Building Centre












9 Mac 2009, cuti umum Maulidur Rasul, saya membuat lawatan ke Pulau Pinang. Destinasi kali ini adalah memandu naik ke Kek Lok Si. Tapi dalam perjalanan naik ke atas, saya dapati ada satu empangan. Sebelum tiba di empangan, kami tiba dulu di Air Itam Team Building Centre. sambil melawat tempat penginapan, kami telah berpeluang berehat sambil menyanyi karaoke.
Kepada anda yang ingin mengadakan latihan team building, anda boleh mempertimbangkan tempat ini. Layarilah laman web berikut untuk keterangan yang lebih lanjut.

Sunday, March 01, 2009

Cheong Fatt Tze Mansion

1 Mac 2009, hari Ahad, rancangan awal adalah ke kem PLKN di Tapah untuk melawat anak saudara, Andrew yang sedang menjalani latihan di sana. Oleh sebab hari ini mereka perlu membuat persediaan untuk upacara penutup yang akan datang, kebenaran melawat tidak dibenarkan. Maka saya pun membuat keputusan untuk melawat Cheong Fatt Tzeansion di Georgetown.

Waktu lawatan di Mansion itu adalah pada pukul 11 pagi dan pukul 3 petang setiap hari. Bayaran masuk adalah RM12 seorang dan ada pembantu pelancong mengiringi semua pelawat untuk memberi penerangan tentang sejarah Mansion tersebut. Selama 1 jam, kami telah menghadiri satu sesi penerangan sejarah bangunan tersebut yang penuh makna. Terdapat sebanyak 16 buah bilik yang boleh disewa kepada pelancong yang berminat untuk menginap di bangunan bersejarah itu, tetapi bayarannya satu malam adalah lebih daripada RM300. Kepada anda yang berminat untuk mengetahui bangunan bersejarah itu dengan lebih mendalam, layarilah laman web berikut.

http://www.cheongfatttzemansion.com