Thursday, January 12, 2017

Syair Bidasari (Komsas Tingkatan Empat)

SYAIR BIDASARI: KOMSAS BAHARU TINGKATAN 4 (THE ROLE OF A MONARCHICAL HEAD OF THE KINGDOM)


Naskhah asal manuskrip Jawi Syair Bidasari (SB) yang terdiri daripada lebih seribu rangkap (1,035) tersimpan di London School of Oriental and African StudiesUniversity of London. Salinan dalam bentuk mikrofilem boleh dibaca di Perpustakaan Universiti Malaya, Perpustakaan Negara Malaysia, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di Malaysia, naskhah SB diselenggara oleh Puan Jamilah binti Ahmad, pegawai penyelidik DBP yang kini telah bersara (klik di sini).

Dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul (JKKDI), hanya lapan rangkap permulaan SB dihidangkan untuk pembelajaran komponen sastera (komsas) tingkatan 4, iaitu pada halaman 5 hingga 7. Murid tidaklah diharapkan untuk membuat kajian yang terlalu mendalam sebagaimana dalam mata pelajaran Kesusteraan Melayu, atau wacana kesarjanaan (klik di sini, hanya untuk makluman bukan untuk dibaca). Maka memadai dengan memahami maksud setiap rangkap, kemudian cuba memenuhi keperluan pembelajaran komsas seperti tema, latar, nilai, pengajaran dan persoalan.

Rangkap 1

          Dengarkan tuan suatu riwayat
          Raja di desa Negeri Kembayat
          Dikarang fakir dijadikan hikayat
          Supaya menjadi tamsil ibarat

Pengenalan kisah seorang raja yang memerintah Negeri Kembayat. Pengarangnya hanya mahu dikenali sebagai fakir sebagai tanda merendah diri. Tujuan hikayat supaya menjadi contoh dan perbandingan kepada pembaca.

Rangkap 2
          Ada raja suatu negeri,
          Sultan halifah akas bestari,
          Asalnya baginda raja yang bahari,
          Melimpah ngadil dagang senteri.

Di sebuah negeri terdapat seorang pemerintah, iaitu sultan yang gagah perkasa lagi bijaksana. Baginda raja dahulukala yang cemerlang (pada peringkat awal sebelum dilanggar geroda). Keadilan baginda telah menggamit kedatangan para pedagang dan orang soleh (pelajar ilmu agama yang merantau).

Rangkap 3
           Hairan orang empunya temasya,
           Baginda itulah raja perkasa,
           Sangat tiada merasai susah,
           Entah pada esok dan lusa.

Kegagahan dan kelangsungan pemerintahan baginda memang mengkagumkan. Sesaat pun baginda tidak mengalami kesusahan. Namun, tiada sesiapa yang tahu sama ada keadaan itu akan berkekalan atau sebaliknya.

Rangkap 4
          Seri sultan raja bestari,
          Setelah ia sudah beristeri,
          Beberapa bulan beberapa hari,
          Hamillah puteri permaisuri.

Sultan yang bijaksana bertambah berseri apabila menempuh alam perkahwinan. Selang beberapa bulan, permaisuri pun hamil.

Rangkap 5
          Beberapa lamanya dalam kerajaan,
          Baginda duduk bersuka-sukaan, 
          Datanglah beroleh kedukaan,
          Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Setelah beberapa tahun memerintah negara dengan bahagia dan aman sentosa, dugaan mala petaka datang melanda. Baginda terpaksa berundur dari istana.

Rangkap 6
          Datanglah kepada suatu masa,
          Melayanglah unggas dari angkasa,
          Unggas gurda sangat perkasa,
          Menjadi negeri rosak binasa.

Tiba-tiba pada suatu hari muncul seekor burung raksasa melayang di ruang angkasa negeri Kembayat. Geroda, iaitu helang besar (seperti dalam epik Hindu, Visynu: dalam syair dieja sebagai gurda) melanggar Kembayat sehingga menimbulkan huru-hara dan kemusnahan.

Rangkap 7
          Datanglah menyambar suaranya bahana,
          Gemparlah sekalian mulia dan hina,
          Seisi negeri gundah-gelana,
          Membawa diri ke mana-mana.

Geroda melakukan serangan dengan suara yang bergema luar biasa. Sekalian rakyat negeri Kembayat berada dalam keadaan huru-hara dan kekalutan. Seluruh negeri dilanda duka lara dan lesu, serta rakyat bercempera tanpa arah tujuan.

Rangkap 8
          Baginda pun sedang dihadap orang,
          Mendengar gempar seperti perang,
          Bertitah baginda raja yang garang,
          "Gempar ini apakah kurang."

Ketika itu baginda sedang bersemayam di singgahsana sambil menerima menghadap pembesar dan rakyat jelata. Keadaan huru-hara bagaikan di medan peperangan jelas kedengaran. Baginda bertitah dengan nada yang tegas tentang perkara cemas apa pula yang berlaku.

...

PERBINCANGAN

1   Tema

     Cabaran yang dihadapi oleh seorang raja ketika memerintah negara (muka surat 3 antologi JKKDI)

2  Nilai

    a)  Keadilan: Raja Negeri Kembayat memerintah dengan adil (rangkap 2, baris 4)
   b) Kewaspadaan / kesiapsiagaan:  Walaupun dilimpahi kesenangan, persediaan menghadapi keadaan sebaliknya
              perlu difikirkan (rangkap 3, baris 3 dan 4)
    c) Kebijaksanaan:  bertindak cepat menyelamatkan diri daripada huru-hara /kemusnahan (rangkap 5 dan 7)

3   Persoalan

     a)  Keadilan dalam pemerintahan
     b)  Kewaspadaan / kesiapsiagaan ketika menikmati kesenangan
     c)  Kebijaksanaan / kesegeraan dalam membuat keputusan / tindakan (pada saat genting)

4   Pengajaran
     a)  Kita hendaklah adil dalam memimpin sesebuah organisasi / keluarga / menjalankan amanah
     b)  Kita hendaklah berwaspada / bersiap sedia walaupun ketika senang
     c)  Kita hendaklah bijaksana / matang dalam membuat keputusan / tindakan

5   Perwatakan

     a)  Adil
     b)  Peka / prihatin / sentiasa waspada
     c)  Bijaksana / matang 

http://cikguazharrodzi.blogspot.my/2014/12/blog-post_21.html

https://www.youtube.com/watch?v=dC0e9on7yKE