Monday, August 05, 2013

Hubungan kaum di Malaysia

Ng Lum Yong (Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia)

DEWASA ini hangat diperkatakan yang kurangnya integrasi antara kaum di Malaysia. Setiap bangsa lebih suka bergaul hanya dengan bangsa sendiri. Melayu dengan orang Melayu, orang Cina sesama mereka dan orang India hanya dalam lingkungan mereka sahaja.

Tetapi interaksi antara kaum masih wujud di kampung-kampung ataupun di luar bandar. Masyarakat Cina atau India hidup dengan rukun dengan majoriti masyarakat Melayu di kampung-kampung. Sebagai contoh, mereka boleh duduk bersama di kedai-kedai kopi bersembang pelbagai topik. Masyarakat Cina dan India di Utara malah fasih bertutur dalam loghat Melayu Utara. Begitu juga di Pantai Timur dengan dialek Kelantan dan Terengganunya. Di Johor, ada golongan tua Cina mampu bertutur dalam bahasa Jawa!

Sebaliknya di bandar-bandar utama, interaksi antara kaum sangat kurang. Kesan kurangnya pergaulan antara kaum-kaum berlainan di kota-kota ini, mereka juga malah tidak langsung senang bergaul dengan kaum-kaum lain yang berhijrah dari desa ke kota. Ini kerana gaya hidup di bandar yang kurang mempedulikan orang lain.

Di samping itu, komposisi kaum di sesetengah bandar seimbang dan mereka hanya duduk di kepompong sendiri. Kalaupun ada pergaulan rapat antara berlainan kaum di kota-kota, ini mungkin kerana mereka berasal dari kampung atau negeri yang sama.

Antara perkara yang mampu merapatkan hubungan seseorang yang berlainan bangsa adalah minat. Berkongsi minat yang sama mampu menutup jurang perbezaan warna kulit. Apa yang berlaku hari ini adalah kaum- kaum berlainan mempunyai minat yang berlainan. Sebagai contoh, orang Melayu mungkin minat konsert Jom Heboh. Orang Cina tidak minat kerana mereka tidak menonton televisyen rangkaian Melayu. Contoh lain, orang Cina minat memperkatakan makanan Cina. Orang Melayu tidak akan berkongsi minat yang sama kerana makanan orang Cina kebanyakannya tidak halal.

Faktor lain adalah kemampuan berkomunikasi. Misalnya, orang Cina di bandar kurang bergaul dengan orang Melayu kerana tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik. Orang Cina yang tinggal di dalam komuniti mereka di bandar hanya bertutur dalam bahasa Mandarin ataupun dialek-dialek mereka. Ada yang bertutur bahasa Inggeris. Orang Cina bandar apabila mahu berinteraksi dengan kaum lain lebih cenderung memilih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

Bagi kebanyakan orang Melayu, bertutur dalam bahasa Malaysia menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dengan rakyat Malaysia sendiri. Bertutur dalam bahasa Inggeris akan memberikan sedikit jurang. Orang Melayu dari kampung-kampung juga kurang fasih berbahasa Inggeris kerana tiada keperluan berbahasa Inggeris di kampung-kampung dan hanya bertutur dalam bahasa Melayu. Bertutur dalam bahasa asing hanya akan merencatkan penyampaian.

Orang India pula bagaimanapun kelihatan lebih mudah bergaul dengan masyarakat Melayu. Mungkin budaya masyarakat India ada persamaan dengan budaya orang Melayu. Adat bersanding adalah tinggalan adat Hindu yang dianuti nenek moyang orang Melayu zaman dahulu yang beragama Hindu/Buddha. Bahasa Malaysia juga banyak menyerap perkataan-perkataan Sanskrit* yang juga dituturkan orang India yang majoritinya bercakap bahasa Tamil. Antaranya bumi, suria dan singa.

Makanan orang Melayu juga tidak banyak berbeza dari orang India yang berasaskan rempah. Orang Melayu dahulu juga menganut Islam hasil sebaran pedagang-pedagang India Muslim. Ini mungkin sebabnya Masyarakat Melayu bersembahyang dengan berkain pelikat, sepertimana pakaian orang India, bukan berjubah seperti orang Arab.

Banyak perkara harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Banyak aktiviti yang melibatkan semua kaum harus dilakukan. Persatuan-persatuan yang mewakili hanya satu kaum bakal melebarkan jurang antara kaum.

Setiap kaum tidak harus hidup dengan kepompong sendiri. Satu contoh adalah kewujudan sekolah-sekolah yang berasaskan satu kaum iaitu sekolah jenis kebangsaan yang memisahkan pelajarnya dari arus perdana. Bukannya dicadangkan di sini untuk menutup saja sekolah-sekolah itu, cuma kewujudan istimewa sekolah-sekolah itu di Malaysia harus lebih mampu berinteraksi dengan majoriti masyarakat Malaysia yang lain. Sekolah Wawasan adalah perancangan yang baik cuma tidak kelihatan kesannya.

Banyak juga orang Malaysia yang kakinya berpijak di Malaysia tetapi fikirannya berada di negara-negara asing. Dengan kemajuan teknologi hari ini, apabila dibuka televisyen, banyak sajian rangkaian dari luar disediakan. Ada yang terlepas dengan perkembangan di tanah air. Bersekolah pun di sekolah antarabangsa. Kurikulumnya dari luar dan kurang bersifat tempatan. Apabila ini berlaku, maka golongan ini kurang berinteraksi dengan komuniti tempatan.

Paling penting, pemahaman tentang budaya kaum lain. Masyarakat Melayu tidak harus menjauhi masyarakat Cina semata-mata masyarakat Cina membela anjing dan makanan tidak halai . Banyak perkara lain boleh dikongsi bersama. Contohnya meraikan Tahun Baru Cina tidak salah kerana itu adalah perayaan adat, bukannya perayaan agama.

Orang Cina pula jangan mengatakan semua makanan Cina itu adalah haram. Cuma cara penyediaan itu haruslah mengikut hukum syarak. Masakan masakan (baca masa-kan masakan) Cina semuanya haram kerana jumlah penduduk Islam di China bahkan lebih ramai daripada jumlah penganut Islam di Malaysia. Kita juga harus sedar banyak orang India ialah vegetarian. Mereka tidak makan haiwan atas alasan agama.

Untuk merapatkan hubungan kaum, rasanya kita perlu berbalik kepada dasar penyatuan bangsa dengan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Tanpa satu bahasa pengantaraan yang khusus, tidak mungkin bangsa yang berlainan mampu berkomunikasi dengan baik dan seterusnya bergaul dengan rapat.

Bertutur dalam bahasa Inggeris antara kaum di Malaysia bukanlah cara terbaik kerana yang memilih bertutur dalam Bahasa Inggeris bukan saja menyusahkan penterjemah Buletin Utama TV3, bahkan tidak ubah seperti pelancong asing!


Di mana selebriti global kita?

Johan Jaafar (Berita Harian, 5 Ogos 2013)

Kita hidup dalam dunia yang menggilai selebriti. Selebriti hari ini tidak sahaja membabitkan mereka dalam bidang hiburan tetapi juga sukan, malah dunia masakan, korporat dan keluarga diraja. Hari ini kita bercakap tentang penceramah agama yang mencapai status selebriti, selain pengacara TV dan pengamal pelbagai profesion lain. Di TV, hos ruangan survival, menangkap ular dan ikan besar, juga yang boleh menjinakkan anjing, menjadi selebriti global.


TV 24 jam memungkinkan semua itu. Begitu juga ruang siber. Media massa menjadikan selebriti ini dikenal di seluruh dunia. Hari ini imej, cerita dan kegiatan selebriti diikuti dengan penuh minat. Batas dan ruangnya juga semakin terbuka luas. Tokoh korporat yang berjaya seperti Donald Trump dan Tan Sri Tony Fernandes mempunyai program sendiri di TV, lalu meningkatkan lagi profil dan kedudukan mereka di kaca mata orang ramai dan peminat. 
Kamus Dewan mendefinisikan selebriti sebagai ‘orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai.’ Mereka berprofil tinggi dan boleh mempengaruhi peminat atau pengikut mereka. Selalunya mereka dikaitkan dengan kemewahan dan kekayaan. Malah ada kalanya status selebriti mereka berpunca daripada kedudukan kewangan mereka. Selebriti mendapat liputan luar biasa. Mereka diburu dan digilai oleh peminat. Dalam bahasa Inggeris perkataan obsession atau kegilaan terhadap selebriti ini boleh mengambil makna yang lain. Ada kalanya untuk tujuan wang. Terdapat juga ‘peminat’ yang meminati mereka secara yang luar biasa dan boleh menyebabkan hilang kawalan diri.

Wahana baharu ruang siber

Pada tahun-tahun 60-an dan 70-an, kumpulan The Beatles digilai oleh jutaan peminatnya. Begitu juga hari ini selebriti semasa menjadi pujaan dan kegilaan ramai. Gaya serta fesyen pakaian mereka ditiru. Lagak dan stail mereka dicontohi. 

Seorang penyanyi dan penari yang berusia 30-an, membawakan tarian ‘Gangnam-Style’ dan melepaskannya di YouTube. Lebih 1.4 bilion manusia menontonnya. Beliau menjadi selebriti serta-merta. Demikianlah ‘kuasa’ wahana baharu di ruang siber bernama YouTube. Hari ini anda tidak perlu ‘ditemui’ melalui kejayaan dalam program TV seperti American Idol, The Voice, Akademi Fantasia atau Bintang Mencari Bintang. Sesiapa sahaja boleh menjadi Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang. 
Apabila Putera William dan Kate Middleton mendapat bayi lelaki yang dinamakan George Alexander Louis, perhatian dunia tertumpu pada bayi yang bakal menjadi Raja England itu. William dan Kate sendiri merupakan selebriti diraja yang kisah percintaan dan perkahwinannya menjadi peristiwa TV yang besar dan hebat. ‘Bayi Diraja’ menjadi topik paling hangat hari ini.

Semua orang mahu mendampingi selebriti. Dan banyak juga yang mengimpikan untuk menjadi selebriti. Anak-anak kecil membesar melihat selebriti di kaca TV dan di sekeliling mereka. Daripada satu segi kejayaan selebriti ini menjadi dorongan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi. Bagaimanapun ada kalangan yang tidak menyenangi fenomena selebriti ini. Ada yang berpendapat mereka lebih banyak melalaikan. Malah ada kalanya selebriti memperagakan perilaku yang tidak disenangi umum. Maka itu selebriti perlu menjaga diri, moral dan akhlak agar mereka boleh menjadi contoh malah ikon bagi anak-anak muda.

Anak harus dimotivasikan 

Kenyataannya ialah anak-anak yang tinggal di kawasan setinggan di Sao Paulo, Johannesburg, Mumbai, Kuala Lumpur dan Shanghai mahu mengubah hidup mereka. Ada yang mahu menjadi pemain bola profesional yang berjaya seperti Messi, Ronaldo, Rooney atau sebelumnya David Beckham. Ada yang ingin menjadi Tiger Woods yang merupakan pemain golf yang terkaya di dunia. Ada yang mahu menjadi masyhur sebagai pelakon filem. Atau menjadi chef selebriti yang terkenal. Atau menjadi pendakwah yang mampu terbang dengan jet peribadi.

Tidak ada salahnya meletakkan impian yang luar biasa. Atau meletakkan sasaran yang tinggi dalam hidup. Anak-anak harus dibenarkan bercita-cita tinggi. Mereka juga harus dimotivasikan untuk mencapai impian itu. Tidak ada yang mustahil di dunia ini. Dengan kesungguhan dan doa, sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan cemerlang.

Apa yang kurang pada anak-anak Malaysia ialah cita-cita untuk mencipta nama di persada dunia. Kita tidak ada selebriti bertaraf global. Kita tidak punya Rain, Justin Bieber, Adele atau pelakon yang hebat dalam dunia hiburan. Kita tidak punya ahli sukan yang bermain di liga utama di Eropah. Kita tidak ada personaliti TV yang dikenal di seluruh dunia. 

Kita hanya ada selebriti yang terkenal sesama kita.