Tuesday, June 26, 2012

Contoh Soalan dan Jawapan Gurindam Tonggak Dua Belas

Soalan:


1.  Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menghargai masa?
2.  Sekiranya anda merupakan seorang pemimpin, apakah ciri-ciri kepimpinan yang anda harap dapat diteladani oleh rakyat bawahan?
3.  Apakah nasihat penyair kepada mereka yang berbakat?
4.  Berikan maksud rangkai kata 'baik buruk dijadikan sempadan'.
5.  Mengapakah bakat yang ada harus dikembangkan?
6.  Berikan pandangan anda tentang cara-cara untuk menjadi insan yang cemerlang.
7.  Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu bergembira semasa bekerja?
8.  Sikap berjimat cermat perlu ada pada seseorang pekerja. Jelaskan.
9.  Berdasarkan gurindam tersebut, nyatakan tiga ciri penting untuk melahirkan pekerja cemerlang.
10.  Pada pendapat anda, apakah kesan buruk amalan suka menangguhkan kerja?
11.  Apakah kebaikan nilai sabar dalam gurindam tersebut?

Contoh Jawapan:

1.  Kita perlu menghargai masa kerana masa yang lepas tidak akan berulang lagi. Kita perlu menghargai masa agar kita tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan. Dengan menghargai masa, kita dapat menyiapkan kerja kita dengan lebih sempurna.

2.  -  bersikap amanah dalam menjalankan tugas;
     -  bertindak adil dalam mengambil sesuatu tindakan;
     -  cekap dalam menjalankan tugas.

3.  -  memberikan tunjuk ajar kepada orang lain;
     -  meningkatkan bakat yang ada supaya lebih maju;
     -  jangan bersikap sombong dengan bakat yang ada.

4.  -  perkara yang elok atau tidak menyenangkan perlu dijadikan panduan hidup.

5.  -  agar kebolehan diri dapat dikenal pasti;
     -  dapat menjadi haluan kepada kerjaya masa hadapan;
     -  untuk menunjukkan potensi diri agar dapat dinilai oleh orang lain.

6.  -  melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan;
     -  sentiasa berfikiran positif;
     -  bijak dalam mengambil sesuatu tindakan.

7.  -  agar tidak mengalami tekanan perasaan atau stres;
     -  supaya waktu bekerja berlalu dengan cepat;
     -  dapat menghasilkan kerja yang berkualiti.

8.  -  untuk mengelakkan berlakunya amalan membazir;
     -  barangan yang dibeli haruslah mengikut keperluan;
     -  wang yang dijimatkan dapat digunakan pada masa depan;
     -  dapat memaksimumkan keuntungan syarikat atau jabatan.

9.  -  bijak menghargai masa;
     -  gigih ketika menjalankan tugas yang diamanahkan;
     -  mempunyai perasaan gembira ketika bekerja.

10.  -  akan hilang kepercayaan orang ramai atau pelanggan;
       -  kerja tidak dapat disiapkan mengikut jadual;
      -  akan menimbulkan masalah kepada orang ramai.

11.  -  fikiran menjadi tenang;
      -  pekerjaan yang sukar akan menjadi mudah;
      -  keputusan yang dibuat tidak mengikut perasaan. 

Monday, June 25, 2012

Gurindam Tonggak Dua Belas


Puisi Tradisional
(Gurindam Tonggak Dua Belas)



Maksud
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.                              
                                                                                                
Masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan janganlah membazir masa.


Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.                                                         


Kejayaan akan dikecapi jika kita berusaha dengan tekun dan gigih.




Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.                                                        

Apabila kita seronok bekerja, hidup kita akan lebih gembira.
 





Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.                                                      

Kesederhanaan dituntut dalam kehidupan dan semua tindakan perlu dilakukan dengan bijaksana.
 





Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.   


Peribadi unggul dan kejujuran hati.perlu diterapkan dalam kehidupan .
 

  
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.                                                       

Sifat baik hati, bertimbang rasa dan bersimpati jadikan amalan.
 





Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.                                              

Pemimpin yang baik menjadi ikutan.
 


Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sempurna.
 





Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.                                                         

Pembaziran perlu dielakkan dalam melaksanakan sesuatu kerja.
 





Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.                                            


Kesabaran dan ketenangan fikiran perlu dalam menghadapi sebarang situasi.
 





Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.                                                       


Kebolehan diri yang ada perlu ditonjolkan sebagai motivasi.
 

Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

 Pemikiran kreatif dapat menjana idea yang lebih inovatif.





Tema


Nilai-nilai murni dalam kehidupan


Gurindam ini menekankan penghayatan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.


Persoalan
1.    Persoalan menghargai masa penting dalam kehidupan ( rangkap 1)
2.    Persoalan tekun berusaha membawa kejayaan ( rangkap 2)
3.    Persoalan kepimpinan melalui teladan (rangkap 7)
4.    Persoalan berfikiran tenang dalam membuat keputusan (rangkap 10)
5.    Persoalan berfikiran kreatif dan inovatif (rangkap 12)


Bentuk
1.    Mempunyai 12 rangkap.
2.    Setiap rangkap mengandungi 2 baris
      Contohnya : Hendak pandai menghargai masa
                           Jangan dinanti esok lusa
3.    Mengandungi 4  patah perkataan dalam satu baris
Contohnya Nikmat mencipta budaya kreatif:
4.    Suku kata antara 9 hingga 14 suku kata
Contohnya ; Ja/ngan di/nan/ti e/sok lu/sa – 9 sukukata sebaris
                     Hi/dup da/lam ke/mu/lia/an ke/se/der/ha/na/an – 14 sukukata sebaris   
5.    Rima akhir aa
Contohnya : Nikmat mencipta budaya kreatif,
                    Kembangkan bakat semoga aktif

Gaya Bahasa
1.    Simpulan bahasa – baik hati (rangkap 6 baris 1)
2.    Unsur Bunyi
Asonansi – pengulangan vokal a 
       Kekuatan sifat baik hati ( rangkap 6 baris 1)
       Nikmat mencipta budaya kreatif (rangkap 12 baris 1)
     
  1. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan n
            Bertindak dengan penuh kebijaksanaan (rangkap 4 baris 2)

Nilai
1.    Nilai kegigihan, Contohnya kegigihan apabila bekerja.
2.    Nilai kebijaksanaan, Contohnya kebijaksanaan dalam melaksanakan tanggungjawab. 
3.    Nilai  kesederhanaan, Contohnya kesederhanaan dalam kehidupan.:
4.    Nilai kesabaran, Contohnya kesabaran menghadapi cabaran.   


Pengajaran
1.    Kita hendaklah bertindak secara bijaksana
2.    Kita hendaklah menghargai masa
3.    Kita haruslah menunjukkan teladan yang baik
4.    Kita janganlah suka membazir.
5.    Kita hendaklah tekun berusaha untuk mencapai kejayaan

Latihan
1.    Nyatakan bentuk gurindam di atas.
2.    Huraikan tema gurindam tersebut.

Jawapan
1.    Bentuk gurindam di atas ialah rima akhir setiap rangkap aa dan setiap rangkap mempunyai dua baris.
2.    Tema gurindam  tersebut ialah nilai-nilai murni dalam kehidupan. Contohnya kegigihan dan ketekunan  bekerja.

Tuesday, June 19, 2012

Contoh Soalan dan Jawapan Syair Pemberontakan Patani

Soalan:


1.   Mengapakah Laksamana bersedia untuk melaksanakan perkara    yang dititahkan oleh raja?
2.   Pada pendapat anda, mengapakah golongan raja digambarkan sebagai golongan yang memiliki daulat yang tinggi?
3.   Nyatakan dua perintah Betara kepada Laksamana dalam syair tersebut.
4.   Terangkan maksud rangkai kata 'tiada berani dura'.
5.   Apakah yang akan terjadi kepada Laksamana jika enggan mematuhi arahan Betara?
6.   Bagaimanakah perasaan Laksamana apabila menerima perintah daripada Raja Senggora?
7.   Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mengutamakan kepentingan negara daripada hal peribadi?
8.   Huraikan perwatakan Laksamana seperti yang terdapat dalam syair tersebut.




Jawapan:


1.   Laksamana bersedia untuk melaksanakan perkara yang dititahkan oleh raja bagi membuktikan ketaatannya kepada raja serta mengelakkan negara dilanda huru-hara.

2.   Golongan raja digambarkan sebagai golongan yang memiliki daulat yang tinggi untuk mengangkat imej mereka, mewujudkan rasa taat setia dan patuh dalam kalangan rakyat, dan supaya dapat menimbulkan rasa takut kepada pihak luar atau musuh.

3.   Betara memerintahkan Laksamana pergi ke negeri Patani dengan segera, dan menerima arahan daripada Raja Senggora.

4.   Maksud 'tiada berani dura' adalah tidak berani menunjukkan kebimbangan.

5.   Jika Laksamana enggan mematuhi arahan Betara, Laksamana akan dianggap sebagai penderhaka. Jawatannya sebagai laksamana akan dilucutkan, dan beliau akan dibuang negeri.

6.   Laksamana dalam keadaan serba salah kerana terpaksa meninggalkan ibu saudaranya yang sakit tenat.

7.   Kita perlu mengutamakan kepentingan negara daripada hal peribadi untuk memastikan negara dalam keadaan aman; untuk menunjukkan rasa cinta akan tanah air. Selain itu, negara memerlukan rakyat untuk mencapai kemajuan.

8.   Laksamana bersemangat patriotik dan sanggup berkorban demi cinta akan negara. laksamana berani menghapuskan pemberontak di Patani. Laksamana juga penyayang

Syair Pemberontakan Patani


Puisi Tradisional
(Syair Pemberontakan Patani)





Rangkap 1:

Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman.

Rangkap 2: 

Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan.

Rangkap 3: 

Setelah mendengar titah betara, laksamana tidak lagi risau kerana negeri yang ditinggalkannya akan tetap terpelihara daripada huru-hara.

Rangkap 4:

Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.

Rangkap 5:  

Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara.

Rangkap 6: 

Laksamana tidak dapat berkata apa-apa kerana dia terpaksa menurut perintah dan  laksamana menyerahkan segala-galanya pada Allah.

Rangkap 7:  Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan nama baginda demi keamanan negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.

Rangkap 8: 

Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap tidak melupakan bonda yang gering meskipun dalam hati kecilnya kemungkinan tidak dapat bertemu dengan bondanya.

Rangkap 9: 

Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.

Rangkap 10: 
Maka laksamana melaksanakan titah seri betara dengan segera bagi mendapat panji-panji/perintah Raja Senggora.


 Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang tanggungjawab seorang laksamana melaksanakan perintah raja.


 Persoalan
  1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
  2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
  3. Persoalan kepentingan negara menjadi keutamaan bagi setiap rakyat.
  4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab kita.
Bentuk
  1. Rima akhir aaaa
  2. Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
  3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
  4. Jumlah perkataan antara tiga hingga lima patah kata setiap baris.
  5. Jumlah suku kata antara  sembilan hingga tiga belas suku kata setiap baris.

 Gaya Bahasa
  1. Diksi (Bahasa Melayu Klasik)
Contoh:  masyghul, dura, pegari, peri dan sebagainya.

  1. Asonansi
Contoh: Laksamana dititahkan betara (pengulangan vokal ’a’)

  1. Aliterasi 
Contoh: Barang yang hendak dihukumkan  (pengulangan konsonan ’n’)

  1. Kata ganda
Contoh: Huru-hara, terkata-kata, bersegera-segera.


 Nilai
  1. Nilai kesetiaan
Contoh:  Setia kepada pemerintah dan negara

  1. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah betara.

  1. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan bondanya yang sakit demi negara.

 Pengajaran
  1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
  2. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
  3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.
  4. Kita hendaklah setia kepada raja dan negara.
  5. Kita janganlah bersedih dengan keputusan yang diambil sekiranya mendatangkan kebaikan kepada orang lain.

Latihan

  1. Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani.
  1. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menanam semangat cinta akan negara dalam kalangan remaja?

Jawapan

  1. Tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani ialah:
i.      Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
ii.     Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
iii.    Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.

  1. Cara untuk menanam semangat cintakan akan negara dalam kalangan remaja ialah melalui :
i.      Pendidikan di sekolah
ii.     Kempen, seminar atau bengkel
iii.    Penyertaan remaja dalam persatuan atau pertubuhan belia