Sunday, June 28, 2009

Sandy Bay Paradise










25 - 27 Jun 2009, saya telah berehat di Sandy Bay Paradise Hotel, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Berehat di situ kerana 3 hari tersebut saya ada program. Kesempatan berehat itu membolehkan saya menikmati suasana tepi pantai yang menyamankan. Sekali-sekala, selepas penat lelah bekerja, kita perlu mencari satu suasana yang boleh merehatkan otak dan minda kita.
Bagi saya, Pulau Pinang adalah tempat yang sesuai untuk beristirehat. Ada pantai, ada bukit, ada makanan yang sedap. Apa lagi? Kepada anda yang sudah bosan dengan kehidupan kampung atau bandar yang memenatkan, datanglah berkunjung dan berehat di Pulau Pinang.

Sunday, June 14, 2009

Lawatan ke Jakarta, Puncak dan Bandung: 7-12 Jun 2009







Lawatan ke Jakarta dengan pesawat Air Asia, pesawat pilihan saya. Walaupun mengalami kelewatan selama sejam sewaktu pergi dan pulang, Air Asia masih tetap pilihan saya. Kalau tidak ada Air Asia, saya tidak dapat bayangkan bahawa saya dapat melawat sebegitu banyak tempat sejak tahun 2005.

Destinasi kali ini ke Jakarta, kerana sudah ada laluan baru dari Pulau Pinang. Oleh itu saya tidak perlu turun ke LCCT untuk menaiki pesawat. Saya fikir mulai sekarang, seboleh-bolehnya saya ingin bertolak terus dari Pulau Pinang ke destinasi saya, bukannya ke LCCT dulu dan kemudian tukar pesawat lain untuk menjimatkan masa dan cukai lapangan terbang.

Masa tiba di Jakarta sudah pukul 12.10 pagi ( waktu tempatan ), atau pukul 1.10 pagi waktu Malaysia. Agen pelancong telah sedia menunggu ketibaan kami. Setelah itu, kami dibawa terus ke hotel untuk menginap.

Hari kedua, 8 Jun 2009, lawatan kami dimulakan dengan melawat MONAS, tugu peringatan negara. Dari atas menara MONAS, kami dapat melihat pemandangan seluruh kota raya Jakarta, yang dibahagikan kepada Jakarta Utara, Jakarta Timur, Jakarta Selatan dan Jakarta Barat. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Taman Mini serta Safari. Taman Mini ditutup pada hari Isnin. Oleh itu, banyak rumah di Taman Mini itu tidak dapat kami masuk. Di Safari, hujan turun dengan agak lebat. Walau bagaimanapun, kami dapat meneruskan perjalanan sambil melihat binatang buas berkeliaran di sekeliling kereta kami. Kami bermalam di Puncak, suasana di situ nyaman dan sejuk.

Hari ketiga, kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandung. Destinasi utama kami di situ ialah ke Tangkuban Perahu, iaitu kawasan gunung berapi yang masih aktif. Pemandangan di situ cukup cantik, ditambah dengan udaranya yang nyaman. kami telah mengambil banyak gambar yang menarik di situ.

Hari keempat, sepanjang hari, kami hanya melawat ke pusat beli-belah. Beratus-ratus ribu Rupiah telah saya belanja di situ.

Hari kelima, kami bertolak pulang ke Jakarta. Kami melawat ke Ancol Dreamland, tetapi hanya selama sejam kerana kesuntukan masa. Oleh sebab terlalu letih, kami membatalkan program melawat ke Mangga Dua Shopping Center pada sebelah petangnya. Kami mengambil kesempatan itu untuk tidur dengan nyenyak di hotel. Pada sebelah malamnya, setelah pulang dari makan malam, kawan saya di Jakarta, Pety, datang bersama suaminya. mereka membawa kami keluar mengelilingi kota raya Jakarta. Sempat juga kami makan bubur sebelum pulang.

Hari keenam, setelah check out dari hotel, kami terus ke Mangga Dua Shopping Center. Belanja sakanlah kami di sana sebelum bertolak ke lapangan terbang.

Selama 6 hari 5 malam di rantau orang, saya hanya mahu mengucap syukur kepada Tuhan kerana sesungguhnya Malaysia lebih baik daripada Indonesia.

Monday, June 08, 2009

Berita dari Puncak

8 Jun 2009, sekarang saya berada di Puncak, Indonesia. Datang ke Jakarta semalam. Kapal terbang Air Asia sepatutnya berlepas pada pukul 9.45 malam, tetapi telah terlewat sehingga pukul 11.00 malam baru berlepas. Saya bersama isteri tiba di lapangan terbang antarabangsa Jakarta pada pukul 12.10 pagi waktu tempatan, bersamaan dengan 1.10 pagi waktu Malaysia.

Sebelah pagi, sepatutnya bangun pukul 7.45 pagi, tetapi tersilap set waktu, saya terbangun sejam lebih awal. Rugi masa sejam untuk tidur.

Perjalanan pada hari ini mengikut jadual. Hujan lebat pada sebelah petang telah mengganggu lawatan di Safari. Kalau tidak boleh bergambar dengan binatang di Baby Zoo.

Esok kami akan meneruskan perjalanan ke bandung, bermalam dua malam di sana.